SYARAT DAN JENIS KEAHLIAN
FASAL 4 KEAHLIAN
4.1 Ahli-ahli PPIPBM terdiri dari Ahli Biasa, Ahli Profesional, Ahli Koperasi, Ahli Bersekutu, Ahli Bergabung, Ahli Kehormat.
4.2 Ahli Biasa ialah:
4.2.1 Firma-firma dan syarikat-syarikat Bumiputra yang menjalankan aktiviti
Pengilangan dan Industri Perkhidmatan sebagai tuanpunya tunggal, atau tuanpunya perkongsian yang berdaftar dibawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (Registration of Business Act 1956) di Semenanjung Tanah Melayu atau mana-mana undang-undang yang berkuatkuasa di Sabah dan Sarawak dengan syarat bahawa kesemua ahli- ahli kongsi terdiri dari Bumiputera. Seorang wakil akan di hantar untuk menghadiri mesyuarat agung dan berhak mengundi.
4.2.2 Syarikat-syarikat Pengilangan dan Industri Perkhidmatan yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965 di Malaysia yang mana ekuiti/saham sepenuhnya dimiliki oleh Bumiputera. Seorang wakil akan dihantar untuk menghadiri mesyuarat agung dan berhak mengundi.
4.2.3 Ahli Pengasas iaitu ahli-ahli yang mengasaskan PPIPBM ini seperti yang dilampirkan dalan Jadual 02 dan berhak mengundi.
4.2.4 Bumiputera yang menjalankan perniagaan pengilangan dan industri perkhidmatan di Malaysia yang dilesenkan oleh Kerajaan Persekutuan, Negeri atau Tempatan di Malaysia atau mana-mana pihak yang berkuasa di Malaysia.
4.3 Ahli profesional ialah:
4.3.1 Mereka berdaftar dengan badan-badan profesional.
4.3.2 Pengarah Bumiputera dan/atau Bumiputera yang menjadi Ketua Eksekutif atau jawatan yang bersamaan dengannya bagi mana-mana syarikat yang diperbadankan di dalam dan di luar Malaysia.
4.4 Ahli Koperasi ialah:
4.4.1 Koperasi yang didaftar di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia yang fokus aktiviti perniagaannya dalam industri pengilangan dan industri perkhidmatan yang dimiliki seratus peratus (100%) oleh Bumiputera.
4.5 Ahli Bersekutu ialah:
4.5.1 Firma-firma dan syarikat-syarikat Bumiputra yang bukan menjalankan aktiviti pengilangan dan industri perkhidmatan.
4.5.2 Firma-firma dan syarikat-syarikat yang mempunyai ekuiti Bumiputera tidak kurang daripada 51%.
4.5.3 Syarikat-syarikat dan perbadanan-perbadanan yang ditubuhkan di bawah mana-mana Akta Parlimen atau Enakmen Dewan Negeri dan Anak-anak Syarikat kepada perbadanan–perbadanan tersebut.
4.5.4 Ahli-Ahli Akademik, Pakar dalam bidang Penyelidikan dan Pembangunan’ dan lain-lain Bumiputera Perseorangan yang mempunyai minat selaras dengan objektif PPIPBM.
4.5.5 Permohonan menjadi Ahli Bersekutu diterima kerana ia suka hendak bekerjasama dengan PPIPBM ini dengan tidak berhak mengundi atau memegang jawatan di dalam Majlis Jawatankuasa Agung tetapi boleh dilantik untuk menduduki mana-mana Jawatankuasa Kecil PPIPBM dan boleh hadir di Mesyuarat Agung dan boleh mengeluarkan fikiran-fikiran, syor-syor atau cadangan-cadangan di dalam mesyuarat ini.
4.6 Ahli Bergabung ialah mana-mana persatuan, badan atau pertubuhan perniagaan yang ahlinya seratus peratus (100%) Bumiputera, di peringkat kebangsaan.
4.7 Ahli Kehormat ialah mana-mana orang perseorangan yang difikirkan dan dianggap munasabah dan layak menjadi Ahli Kehormat PPIPBM oleh Majlis Jawatankuasa Agung.
4.8 Permohonan menjadi ahli (Fasal 4.2, 4.3, 4.4, 4.5 dan 4.6) hendaklah dibuat dengan mengisi borang permohonan menjadi ahli yang disediakan oleh Persatuan. Penerimaan sesuatu permohonan itu sebagai ahli akan tertakluk kepada keputusan Jawatankuasa Agung.
4.9 Ahli Biasa melalui wakil yang dilantik hanya berhak mengundi atau menjadi calon bagi sesuatu pelantikan sekiranya ianya telah menjadi Ahli Biasa Persatuan pada atau sebelum 31hb. Disember dalam tahun sebelum diadakan Mesyuarat Agung Tahunan itu dengan syarat ahli itu hendaklah juga telah menjelaskan segala yuran tahunan yang tertunggak pada atau sebelum tarikh Mesyuarat Agung Tahunan berkenaan.